Bagaimana Merawat Sihir?
Kita  bermohon kepada Allah supaya dilindungi daripada kejahatan sihir dan  tukang sihir. Kita mendoakan supaya Allah menyembuhkan penyakit-penyakit  yang ditimpakan kepada golongan yang dizalimi dengan sebab tukang  sihir. Berikut adalah beberapa kaedah syarak yang mujarab dan disarankan  oleh para ulama bagi merawat mereka yang telah terkena sihir.....(selanjutnya klik baca lagi.....)
1-      Membaca Ruqyah (jampi) Syarak dan ayat-ayat pelindung.
Sesungguhnya  ianya merupakan usaha yang paling kuat bagi merungkaikan sihir dengan  izin Allah. Di sana terdapat beberapa ayat yang telah dipilih oleh  mereka yang ahli dalam bidang ruqyah ini selain daripada beberapa surah  dan hadis-hadis yang masyhur yang menjadi penawar dan pelindung. Gambar  ayat di atas boleh diambil sebagai bacaan-bacaan harian untuk menjampi  diri sendiri yang terkena sihir.
2-      Qiyamullail.
Ini  diantara cara yang paling bermanfaat, iaitu dengan bangun malam,  mengadu dan memohon kepada Allah setelah beristighfar dan memuji dan  memuja Allah dengan nama-namaNYA dan sifat-sifatNYA. Ini berpandukan  kepada hadis qudsi yang soheh menjelaskan tentang diperkenankan doa  orang yang meminta kepada Allah. Lihat hadis Nuzul. Dinasihatkan juga  supaya pesakit membaca surah al-Baqarah sebolehnya ketika solat sunat  dalam 2 rakaat. kerana Nabi pernah bersabda yang bermaksud; "……bacalah  surah al-Baqarah, maka sesungguhnya mengambilnya adalah suatu  keberkatan, meninggalkannya adalah kerugian, dan tidak mampu  mengatasinya al-Batholah (tukang sihir)". Hadis soheh al-Jami3 1165.  Terdapat beberapa kisah benar yang mana pesakit membaca surah al-baqarah  dalam 2 rakaat solat malamnya, dan selepas itu keluar dari mulutnya  sesuatu yang pelik dan akhirnya dia sembuh dengan kurnia Allah.
Imam  an-Nawawi ketika menerangkan hadis Ibnu Umar daripada Rasulullah bahawa  baginda bersabda yang bermaksud; "Jadikan dirumah kamu semua daripada  amalan solat dan jangan jadikannya seperti kubur" Muttafaq Alaihi. Imam  an-Nawawi berkata; "Diberi galakkan kepada solat-sunat sunat di rumah  kerana ianya tersorok dan jauh daripada riyak dan pelindung daripada  kerosakkan-kerosakan amalan dan supaya rumah menjadi berkah dengan  amalan-amalan itu, diturunkan ke dalam rumah tersebut rahmat dan  malaikat, sementara syaitan akan lari meninggalkan rumah itu". Syarah  Soheh Muslim karangan an-Nawawi.
3-      Mengetahui tempat sihir tersebut serta merungkaikannya.
Ini  diantara kaedah yang paling dan cepat untuk sembuh. Seperti telah  dinyatakan oleh Aishah Ummul Mukminin bahawa Nabi berkata kepadanya;  "Wahai Aishah! Adakah kau rasai bahawa Allah telah perkenankan apa yang  aku pintakan padanya? Telah datang 2 lelaki salah seorang duduk  dibahagian kepalaku dan yang lain disebelah kakiku, maka berkata yang  duduk disamping kepalaku kepada yang duduk disisi kakiku; "Apakah sakit  lelaki ini (Nabi)?" maka yang seorang menjawap; "Matbub (sihir)", siapa  yang lakukannya? Lalu yang berada dikaki Nabi berkata; "Labid bin A'som.  Pada apakah dilakukan perkara tersebut? Dia menajwap lagi; "Pada sikat  dan rambut dan perigi. "dimana tempat itu"? lalu yang disamping kaki  menjawap; "Di perigi Zarwan". Wahai Aishah! Demi Allah seolah-olah air  perigi itu berwarna seperti di inai, dan pokok kurma yang disampingnya  seperti kepala-kepala syaitan". Muttafaq alaih.
Ibnu  qayyim berkata; "mengeluarkan barangan sihir dan menghapuskannya adalah  paling berkesan dalam perubatan sihir seperti yang telah soheh daripada  Nabi bahawa baginda meminta kepada Allah  supaya diperlihatkan tempat  sihir itu, maka dikeluarkan daripada perigi itu sikat, rambut dan  tangkai kurma jantan. Maka tatkala dikeluarkan, hilanglah apa yang  menimpa Nabi hingga seolah-olah cergas daripada ikatan." Zaddul ma'ad  3/104.
Tetapi bagaimana mahu mengetahuinya?
Iaitu  dengan memohon kepada Allah seikhlas hati supaya dibukankan pintu  hatinya untuk dia mengetahuinya, yang demikian dengan diperlihatkan  tempat tersebut melalui gerak hatinya @ seseorang yang lain  mengkhabarkan kepadanya.
Kadang-kadang  setelah pesakit berdoa dan memohon dengan penuh kesunggguhan dan  ikhlas, boleh jadi Allah akan memperlihatkan kepadanya melalui mimpi  yang benar. Jangan lupa bahawa orang yang disihir adalah orang-orang  yang dizalimi dan doa mereka adalah makbul seperti disebutkan dalam  hadis yang soheh.
Satu  kisah benar diceritakan oleh Syeikh Soleh bin Hamud al-Tuwaijery yang  menaqalkan dari bapanya bahawa seorang wanita yang sangat baik telah  berkahwin dengan seorang ulama di Qasim. Selepas berkahwin dia merasakan  sangat benci terhadap suaminya. Akan tetapi wanita itu berusah keras  untuk terus mentaati suaminya dalam semua perkara yang ma'ruf. Sehingga  kebencian itu semakin memuncak dan akhirnya dia mengkhabarkan  perasaannya kepada suaminya. Suami memberi nasihat supaya bersabar dan  banyak-banyak mengingati Allah. Suatu masa, si isteri bermimpi bertemu  dengan datuknya yang menyatakan kepadanya bahawa di atelah terkena sihir  dan barangan sihir itu adalah ditempat sekian dan sekian. Sehinggalah 3  malam berturut-turut dia bermimpi lalu dikhabarkan mimpi itu kepada  suaminya. Si suami lantas pergi ke tempat yang telah digambarkan didalam  mimpi lalu dia benar-benar menemui barangan 2 sihir tersebut. Lalu  dibawakan ayat-ayat al-Quran dan dibakar barangan tersebut. Selepas itu  kasih sayang isteri kembali seperti sedia kala dan hilanglah segala  perasaan bencinya pada suami.
4-      Menggunakan benda-benda yang harus seperti berikut;
Pertama;  Mandi dengan air yang telah dibacakan ayat-ayat al-Quran. Air itu juga  boleh diminum sedikit dengan niat penawar. Dibacakan pada air itu surah  Yunus ayat 79-82, surah A'raf ayat 118-122 dan surah Toha ayat 65-69.
Kedua;  Bersarapan pagi dengan memakan 7 biji tamar ajwah. Kelebihan ajwah ini  telah disebutkan oleh Nabi dalam hadis soheh Muttafaq Alih. Sebahagian  ulama mengumumkan hadis itu kepada semua tamar yang tumbuh di bumi haram  Madinah. Lihat bin Bazz dalam kitabnya (Fathul Haq al-Mubin Fi I'laj  as-Sori' Was Sihri Wal Aini m/s 178).
Ketiga;  Menggunakan daun sidir (bidara) yang diletakkan didalam air sebagai  mandian atau minuman. Al-hafiz Ibnu Hjar berkata; "Ibnu Batthol  menyatakan bahawa dalam kitab Wahab bin Munabbih disebut, hendaklah  mengambil 7 helai daripada daun sidir kemudian dilumatkan dengan 2 batu  lalu dimasukkan ke dalam air, dibacakan ayat al-kursi dan surah-surah  Qul (al-Jin, al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas) kemudian  diminum beberapa teguk kemudian pesakit mandi dengan air itu,  sesungguhnya akan hilanglah semua penyakit sihirnya insyaallah" Fathul  bari 10/233. Ini adalah bagus khususnya bagi lelaki yang terkena sihir  ikat (tidak mampu mendatangi isterinya).
Keempat; Berbekam.
Ulama  menyatakan bahawa berbekam adalah diantara cara yang berkesan dan  Berjaya dalam mengubati sihir dengan melakukannya pada tempat yang  dirasakan sakit. Ibnu Qayyim menyebut; "Dan menggunakan bekam pada  tempat yang dirasai termudharat dengan sebab sihir adalah diatara  perubatan yang paling bermanfaat jika digunakan dengan undang-undang  yang sepatutnya" Zaddul Ma'ad 4/125.
Kelima; Mengeluarkan / memuntahkan sesuatu.
Ia  juga merupakan bentuk perubatan yang baik dan bermanfaat dalam  perubatan sihir khususnya jika benda sihir itu berada didalam perut.  Iaitu yang berbentuk makanan yang telah termakan. Carilah kaedah yang  sewajarnya bagi memuntahkan sesuatu yang berada di dalam perut dan  menyakitkan itu. Sila lihat penjelasan Ibnu Qayyim dalam kitabnya Tibbun  Nabawi m/s 125.
Keenam; Menyapukan minyak zaitun @ habbatus sauda.
Minyak  itu disapukan setelah dibacakan beberapa ayat-ayat suci al-Quran dan  jampi yang syarak. Semoga dengan kaedah-kaedah yang dijelaskan ini akan  membantu mereka yang teraniaya ini untuk segera sembuh. Mengelakkan  mereka yang sedang diuji Allah ini daripada melakukan tindakan-tindakan  yang diharamkan syarak. Mari kita sama-sama mendoakan kesembuhan kepada  semua para mukminin dan mukminat yang sedang menanggung sakit. Wallahu  A3lam.