BERUBAT SEBELUM TERLAMBAT
"Jin atau makhluk halus tidak boleh dilihat tapi dapat dirasai. Jin yang bersifat datang dan pergi ini sering membisikkan waswas dalam dada manusia. Sumpah iblis, "Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-MU yang lurus". Kenyataan ini wajar dibentengi sebaiknya agar kita tidak terpedaya oleh tipu daya syaitan dan semoga kita termasuk dalam golongan orang yang bersyukur."
GANGGUAN JIN - RAWATAN & PENDINDING ini dapat membantu kita memahami sifat, misi, visi, ikrar dan gerak saraf jin. Sebagai insan, kita tidak terhindar daripada rasa dendam dan iri hati syaitan yang sentiasa mencampakkan permusuhan sesama manusia. Oleh itu, kita wajib berusaha menangkis apa jua gangguan sama ada pada jasad atau roh.Dindingkanlah jiwa dengan al-Quran kerana ia merupakan penawar dan penyembuh yang dapat menyelesaikan apa jua komplikasi jiwa. Kalimahnya mampu memberi ketenangan yang boleh menukarkan sifat manusia. Ubatilah hati yang rosak dan jiwa yang sakit. Bentenglah diri dan kembali pada Rabbi.
Andai tidak sihat, berubatlah. Perubatan moden adalah usaha yang terbaik. Namun, jika sakit masih berterusan, beralihlah pada cara perubatan Islam. Ingatlah bahawa kesakitan itu mainan hidup, berubat itu kewajipan dan penyembuhan itu hak mutlak-NYA. DIA yang menurunkan penyakit, DIA juga yang memberi penawarnya...